Thursday, October 3, 2013

MERANGSANG PERKEMBANGAN BAYI

Merangsang Perkembangan Bayi

Merangsang Perkembangan Bayi

Bayi atau anak adalah anugerah yang tidak ternilai dalam sebuah kehidupan berumah tangga. Tugas seterusnya adalah merangsang perkembangan intelek (koginitf), emosi dan psikomotornya supaya bayi anda menjadi bayi yang genius. 
Bayi atau anak adalah anugerah yang tidak ternilai dalam sebuah kehidupan berumah tangga. Tugas seterusnya adalah merangsang perkembangan intelek (koginitf), emosi dan psikomotornya supaya bayi anda menjadi bayi yang genius.

BAYI BARU LAHIR HINGGA 6 BULAN
Bayi baru lahir mempunyai tahap kepekaan yang tinggi pada 2 jam pertama selepas kelahirannya. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil kesempatan ini bagi merangsang bayi dengan pelbagai teknik mudah seperti mana yang dibincangkan sebelum ini.

Belajar sambil bermain
Pada peringkat perkembangan 6 bulan pertama, bayi banyak belajar daripada persekitarannya terutama melalui interaksi antara anda dengannya. Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah bayi belajar melalui permainan.

Setiap kali anda bermain ataupun berinteraksi dengan bayi, anda sebenarnya mengajarnya lebih banyak perkara mengenai diri anda, dirinya sendiri dan persekitarannya.

Setiap aktiviti permainan mudah seperti menggoncangkan alatan yang berbunyi memberi kesan terhadap perkembangan derianya. Bayi belajar memfokus penglihatan dan pendengarannya terhadap objek berkenaan. Sekiranya aktiviti ini diulang-ulang, bayi akan belajar menggoncang alatan dan menyebabkan berlaku kebisingan.

 CARA-CARA MERANGSANG BAYI

Seseorang bayi Islam yang baru dilahirkan dianggap seperti kain putih. Perkembangan personalitinya bermula daripada peringkat itu walhal ada pakar-pakar yang berpendapat bahawa ini bermula dari peringkat janin lagi. Bayi yang baru lahir sudah dilengkapkan dengan kesemua pancainderanya dan sudah boleh berinteraksi dengan persekitarannya serta dengan orang-orang disekelilingnya, terutama ibu dan bapanya.

Pada masa dahulu kebanyakkan orang menganggap seseorang bayi yang baru lahir itu sebagai seorang individu yang pasif dan tidak berupaya mengenali ibu bapanya, persekitarannya, atau memberi apa-apa gerak-balas kepada orang disekelilingnya. Tetapi pada masa kini jelas kepada pakar-pakar perkembangan kanak-kanak bahawa bayi yang baru lahir sudah berupaya memberi gerak-balas kepada perhatian yang ditunjukkan oleh orang lain kepadanya.

Bayi sudah boleh mendengar, sudah boleh melihat dan sudah boleh merasai keadaan-keadaan yang selesa atau keadaan-keadaan yang tidak menyenangkan. Bayi menangis apabila lapar, tenteram apabila disusukan. Semakin dia besar, jelas kadangkala yang dia menangis apabila dia keseorangan dan akan tenteram semula apabila dibedung, diangkat ataupun didodoikan.

Pada masa kini ramai ibu bapa yang bertanyakan cara -cara untuk merangsangkan bayi . Sekarang sudah jelas bahawa prestasi intelek seseorang kanak -kanak itu boleh dipertingkat dengan memberi persekitaran yang penuh dengan rangsangan kepada kanak -kanak itu . Sitimulasi atau rangsangan ini perlulah dipertunjukkan kepada anak -anak dari peringkat bayi lagi .

Kalau diperhatikan kelakuan seseorang bayi dalam beberapa hari dia dilahirkan jelas ternampak bahawa dia akan berada dalam empat keadaan - tidur nyenyak , mengantuk , keadaan menangis . Didalam keadaan dia berjaga -jaga dan asyik memerhatikan kelilingnya dan asyik memerhatikan persekitarannya itu deria -derianya akan menangkap semua stimuli di persekitarannya . Kadangkala dia akan memberi gerak-balas kepada stimuli-stimuli ini. Umpamanya dia mungkin akan ketawa jika ibunya ketawa dihadapannya. Dia akan memerhatikan sesuatu benda yang diimbaskan dihadapan mukanya.

Cara-cara merangsang bayi

Keadaan yang sesuai bagi merangsang bayi ialah pada masa dia celik dan sedar. Ibu bapa perlu faham masa yang elok untuk merangsang bayi kerana jika rangsangan diteruskan tanpa mengambilkira kemampuan bayi untuk berinteraksi, ini mungkin akan membawa kesan yang negatif kepadanya. Bila bayi asyik memerhatikan wajah ibunya, ibu itu patutlah bercakap-cakap dengannya, menyanyi mesra, menunjukkan wajah senyum gembira atau ketawa sambil menggosok-gosok atau mencium bahagian tubuh bayinya itu. Waktu menyusu bayi boleh digunakan untuk merangsang bayi. Perkataan-perkataan seperti " anak mak cantik sangat, anak mak manis sangat, anak mak sayang, anak mak suka minum susu", dan sebagainya disarankan untuk digunakan pada waktu ini.

Ibu-ibu juga digalakkan bercakap-cakap dan bermesra dengan bayinya diwaktu dia dimandikan atau lampinnya ditukarkan. Jarak mata bayi dengan wajah ibunya semasa menyalinkan lampin sungguh sesuai untuk berinteraksi diantara ibu dan bayi. Sambil menyalin lampin perkataan-perkataan seperti" cantiknya kaki anak mak, wanginya badan anak mak," dan sebagainya boleh digunakan.

Sebelum seseorang bayi boleh menggunakan bahasa dia akan menempuh proses perkembangan yang sistematik. Bayi yang baru lahir hanya menangis sahaja. Kebolehan bayi untuk mengeluarkan konsonan seperti mm,mm, atau ng pada usia tiga hingga empat bulan akan terus berkembang sehingga pada usia enam bulan dia sudah boleh mengeluarkan bunyi "ma ma ma, na na na" ,seolah-olah dia hendak memanggil ibunya. Kebanyakkan bayi sudah berupaya mengeluarkan satu perkataan yang bermakna seperti "mama", "baba' pada usia sepuluh bulan. Dari bahasa yang digunakan oleh ibu kepadanya setiap hari dan pada setiap masa bayi akan dapat mempelajari dan membentuk bahasanya sendiri. Dari itu ibu bapa perlulah faham bahawa mereka seharusnya memberi perhatian kepada perkembangan bahasa bayi-bayi mereka dan membantunya dengan selalu bercakap-cakap dengan bayi mereka. Bahasa sangat penting untuk seseorang manusia mempelajari keadaan disekelilingnya kerana melalui bahasa seseorang kanak-kanak kecil boleh melafazkan kehendaknya, boleh bertanya-tanya, boleh meminta-minta, dan boleh mengeluarkan pandangan-pandangannya tentang sesuatu perkara.

Seseorang bayi yang selalu menangis tentu akan kurang berkebolehan menerima segala stimuli dari persekitarannya serta dari orang-orang disekelilingnya. Ada ibu-ibu yang mengatakan " Biarlah budak itu menangis, lama-lama bila dia letih, dia akan diam". Anggapan ini adalah tidak benar dan ibu bapa dinasihatkan supaya mencuba seberapa daya untuk mententeramkan dengan mendukung dan mendodoinya atau mengenjut-enjutkannya. Selalu didapati bahawa seseorang ibu yang sudah pandai mendapatkan perhatian bayi dan merangsang bayi akan mendapati bayinya kurang meragam . Bayi menangis kerana inginkan sesuatu. Cubalah cari sebabnya dan pujuklah dia.

Bermain-main dengan bayi adalah sangat-sangat digalakkan. Jari-jari bayi boleh dicium atau kedua-dua tangannya ditepuk-tepukkan sambil ibu menyanyi perkataan-perkataan seperti " tepuk-tepuk tangan". Pendeknya, perkataan-perkataan yang dikeluarkan oleh seseorang ibu itu seelok-eloknya mestilah ada berkaitan dengan sesuatu perbuatan yang dilakukan.

Kesimpulan

Persekitaran seseorang bayi itu boleh diperkayakan dengan mengadakan berbagai-bagai bunyi yang menarik seperti lagu-lagu dari peti muzik (musical box) atau dengan gambar-gambar yang berwarna-warni.

Untuk merangsang bayi ibu digalakkan bercakap-cakap, bermain-main, menyanyi atau membaca sesuatu kepada bayi mereka kerana ini bukan sahaja akan membantu proses perkembangan bahasa bayi bahkan mungkin boleh meninggikan pretasi intelek mereka. Sebelum kanak-kanak itu boleh menggunakan bahasa dia perlu memahami bahasa. Dari itu ibu bapa digalakkan selalu mengeluarkan perkataan-perkataan yang sesuai pada masa dia berinteraksi dengan bayinya. Insyaallah bila perkembangan bahasa kanak-kanak itu dapat dipercepatkan, prestasi inteleknya juga akan meningkat



Perkembangan awal kanak-kanak perlu juga diambil kira dari segi pertumbuhan emosi, sosial dan mental tidak setakat melihat kepada pembentukan fi-zikal mereka semata-mata. Perasaan dan kasih sayang yang dicurahkan kepada bayi melalui belaian mesra dan pelukan amat berguna agar bayi rasa selamat dan disayangi.

Ibu bapa dapat memberi perhatian agar anak-anak boleh berkembang ke tahap maksimun sekiranya mereka tahu keperluan kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut panduan perkembangan awal kanak-kanak, Kementerian Kesihatan, kanak-kanak belajar mengenali dunia melalui pancaindera sentuhan, penglihatan, pendengaran rasa dan hidu.

Setiap pancaindera ini mula berfungsi sejak mereka dilahirkan lagi.

Umpamanya, mereka akan merasa selamat bila disentuh dan dibelai malah sebelum mereka pandai bercakap sentuhan inilah yang menjadi saluran komunikasi antara dia dan ibu bapanya.

Panduan tersebut turut menyebutkan, sifat kasih sayang akan membentuk keperibadian dan mental yang baik kepada kanak-kanak.

Perhubungan mata umpamanya antara anak dan orang dewasa bermula sejak mereka bayi lagi.

Bayi lazimnya lebih gemar melihat manusia daripada melihat objek-objek kaku kerana bayi lebih cepat mengenali wajah manusia daripada rupa objek.

Bagi menjalin kemesraan dan pemberian kasih sayang balaslah pandangannya kerana hubungan mata akan membantu merangsang minat bayi terhadap alam di sekelilingnya.

Cara ini juga menjalinkan hubungan yang lebih mesra serta membentuk naluri ingin tahu dan kecerdasan di dalam diri bayi itu sendiri.

Kanak-kanak akan merasa sedih jika tidak diberi perhatian. Itulah sebabnya kanak-kanak yang diabaikan akan hilang minat mengenai kehidupan, kurang selera makan dan ini boleh menggugat pertumbuhan mental serta fizikal mereka.

Bagaimana merangsang kanak-kanak bercakap

Sejak dilahirkan bayi terdedah kepada tingkah laku dan perlakuan orang di sekeliling mereka. Menyanyi dan bercerita akan membantu pertumbuhan otak kanak-kanak.

Bayi akan bertindak balas dengan cara dan gaya tersendiri sekiranya anda berbual dengannya. Sebagai langkah permulaan ajarkan perkataan mudah yang selalu didengarnya seperti mama, papa dan sebagainya lagi.

Dedahkan mereka dengan bunyi seperti salakan anjing, hon kereta atau bunyi kucing.

Perkembangan otak kanak-kanak dapat diperluaskan dengan menunjukkan dan memberitahu objek yang ditunjukkan atau yang disentuhnya dan umpamanya katakan ini jam tangan, ini kereta, hidung dan sebagainya lagi.

Kanak-kanak yang berusia setahun akan cuba berbual dengan ibu bapanya melalui pergerakan badan atau tangisan kecil.

Pada peringkat ini ibu bapa hendaklah cuba terangkan kepada kanak-kanak apa yang dia maksudkan dan tunjukkan dengan bahasa pertuturan yang betul.

Ini akan membina asas bagi kanak-kanak belajar menggunakan perkataan.

Ibu bapa juga harus menyedari tidak semua kanak-kanak mempunyai tahap kemampuan bercakap pada masa yang sama, begitu juga bagi kanak-kanak yang baru belajar berjalan. Setengahnya mengambil masa yang lebih sedikit daripada yang lain.

Berikan mereka dorongan dengan menunjukkan minat apabila kanak-kanak cuba menyebut sesuatu perkataan. Berikan pujian dan tunjukkan kegembiraan tetapi jangan pula menghukum mereka kerana tersalah menyebut sesuatu perkataan.

Ketika membaca dan bercerita, elakkan cerita-cerita yang negatif kerana perkara ini tidak akan membantu proses pembelajaran mereka.

Daya khayalan kanak-kanak juga boleh dikembangkan dengan menunjukkan minat terhadap apa yang mereka lakukan.

 Perkembangan bayi empat bulan ke atas pantas

MEMERHATIKAN perkembangan dan kebolehan bayi berusia empat bulan ke atas memang menyeronokkan kerana dalam tempoh ini perubahannya memang pantas.

Hari demi hari ada saja kemajuan yang dicapainya dari segi pertumbuhan dan kebolehan fizikalnya.

Kiranya sebelum itu mereka masih belum mampu mengangkat kepala kerana leher masih lembut. Kini mereka sudah boleh mengawal leher dengan baik dan mampu mengangkat kepala buat jangka masa yang lebih panjang.

Menurut panduan perkembangan bayi yang dikeluarkan oleh Heinz Nutrition Consultancy, selepas empat bulan ada bayi yang sudah mula belajar menggolekkan badan dan berkebolehan mengikut arah sesuatu objek umpamanya jika diacah oleh ibunya.

Mereka juga sudah pandai mengenali ahli keluarga atau wajah-wajah yang selalu dilihatnya terutama sekali mereka yang sering mengasuhnya.

Dari segi kebolehan memegang sesuatu, bayi dalam usia ini telah mula pandai memegang permainan kecil yang diberikan pada tangannya. Suatu yang sering dilakukan mereka memasukkan apa saja yang dipegangnya ke mulut.

Berat badan juga telah menjangkau dua kali ganda daripada berat semasa dilahirkan.

Apabila bayi telah menjangkau usia lebih enam bulan pinggang mereka mulai kuat dan tegap. Mereka sudah boleh duduk tanpa dipegang.

Kebolehan bergerak juga meningkat, sudah boleh merangkak atau berjalan jatuh apabila usia lebih daripada sembilan bulan.

Ibu bapa mungkin seronok bermain dengan anak-anak pada peringkat ini kerana anak sedikit sebanyak sudah pandai meniru gaya orang lain dan sudah pandai menunjukkan perasaannya.

Berat badannya juga meningkat sebanyak 100 gm setiap minggu mulai enam bulan ke atas.

Kemampuan makan juga bertambah bagi meningkatkan tumbesarannya sehingga satu tempoh tertentu.

Biasanya, bayi mula tumbuh gigi apabila usia mereka menjangkau enam hingga tujuh bulan atau lebih daripada itu.

Pertumbuhan gigi ini akan disertai oleh demam dan ibu perlu tanganinya dengan memberikan ubat demam. Sebaiknya bawa anak berjumpa doktor bagi memastikan anak diberikan ubat yang bersesuaian.

Sebaik sahaja anak mencapai usia setahun dia telah mempunyai enam hingga lapan batang gigi.

Gigi gerahamnya yang pertama akan tumbuh apabila mencapai usia 12 hingga 15 bulan.

Gigi gerahamnya yang kedua pula akan tumbuh apabila berusia dua tahun.

Pemakanan yang sihat serta amalan menjaga gigi yang baik adalah digalakkan untuk mengelakkan kerosakan gigi.

Ketika ini ibu boleh menerapkan amalan kebersihan gigi yang baik ketika anak mempunyai gigi pertama lagi.

Sebaiknya bersihkan gusi bayi dengan kain lembut yang bersih yang dilembabkan terlebih dahulu.

Apabila bayi telah mempunyai 20 batang gigi, bolehlah mulakan membersihkan gigi anak dengan menggunakan berus gigi yang lembut dan juga ubat gigi yang sesuai tidak terlalu berangin kerana anak belum bersedia menggunakan ubat gigi yang demikian.

Bagi mengelakkan gigi daripada cepat rosak dan bertukar menjadi merah. Jangan membiasakan anak menghisap susu atau jus daripada botol susu sehingga terlena.

Sebaliknya beri mereka menghisap susu sehingga kenyang sebelum tidur dan kiranya mereka mahu menghisap susu juga ketika tidur isikan dengan air kosong.

 Merangsang kebolehan anak berusia setahun

ANAK-anak dalam usia 12 hingga 18 bulan suka mencuba sesuatu. Perkembangan dan kebolehan mereka begitu memberangsangkan. Ibu bapa boleh membantu meningkatkan kebolehan anak dengan memberi galakan dan menyediakan persekitaran serta pemakanan yang baik.

Semua ini bagaikan satu pelaburan untuk membentuk minda, kebolehan dan kebiasaan yang baik dalam diri anak hingga mereka besar kelak.

Menurut petua penjagaan Si manja yang dikeluarkan oleh Heinz Nutrition consultancy, usia antara 12 hingga 18 bulan anak telah boleh berjalan sendiri walaupun kadangkala meluru ke hadapan dengan cepat.

Mereka juga sudah ada keinginan untuk memanjat. ketika ini anak-anak memerlukan pengawasan rapi agar tidak melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri.

Mereka suka bermain dengan blok dan mampu meletakkan blok di atas satu dengan yang lain.

Dalam usia ini anak-anak kelihatan riang serta mampu bercakap sepatah dua perkataan yang dipelajarinya. Kebolehan mereka sungguh menghiburkan ibu bapa.

Anak-anak dalam usia ini gemar mencuba termasuklah makan sendiri, makanan yang sering kita makan tetapi dalam kuantiti yang kecil.

Sama ada ibu sedar ataupun tidak anak-anak dalam usia ini kelihatan susut berat badannya bagi membolehkan mereka banyak bergerak.

Kaki dan tangannya kini tumbuh lebih panjang jika dibandingkan dengan pertumbuhan bahagian badan yang lain.

Menjelang usia 18 bulan mereka sudah tegap berjalan malah mampu berlari.

Mereka juga berupaya menolak permainan atau objek yang ada di hadapan dan gemar memasuk atau mengeluarkan sesuatu barangan dari bekasnya.

Ketika ini juga mereka boleh bercakap dengan lebih jelas walaupun dengan bahasa bayinya.

Mereka suka memasukkan apa yang dijumpai ke dalam mulut. Mereka juga sudah pandai cerewet dan kadangkala sukar untuk memuaskan hatinya.

Dalam usia lebih setahun adalah waktu amat baik jika ibu mahu memberhentikan pemberian susu ibu.

Cuba dengan perlahan dan jangan lakukan serta- merta .

Bagaimanapun jangan sekat anak minum susu sebaliknya berilah mereka minum menggunakan cawan bayi dan beri makanan yang lebih pada waktu siang.

Cubalah suruh ayah menjaganya pada waktu malam pada minggu pertama mereka bercerai susu untuk mengurangkan mereka meminta susu ibu.

Barangkali sekali-sekala dalam tempoh bercerai susu cuba tinggalkan anak dengan ahli keluarga yang lain terutamanya ibu yang tidak bekerja bagi membiasakan anak dengan pemakanan biasa.

Sekiranya dia terlalu bergantung kepada penyusuan botol cuba galakkan dia minum dari cawan pada siang hari.

Bagaimanapun jangan paksa mereka sekiranya cara ini didapati menyusahkan mereka kerana sesetengah anak tidak dapat meninggalkan penyusuan botol hingga berusia dua tahun.

Anak dalam usia ini gemar meniru tingkah laku orang dewasa. Jadi anak perlu makan-makanan berkhasiat dan seimbang untuk tumbesarnya dan anda perlu menunjukkan teladan sekiranya ingin anak mengamalkan pemakanan sihat sejak usia awal.

Makanan yang boleh dihidangkan bersama makanan harian yang lain termasuklah makanan hasil tenusu seperti keju, yogurt dan kastad yang rendah lemak adalah baik untuk orang dewasa tetapi yang penuh krim elok untuk anak yang sedang membesar.

Berikan anak buah-buahan dan sayuran sekurang-kurangnya tiga hingga empat jenis sehari.

Begitu juga dengan beras dan bijirin yang lain.

Daging, ayam, ikan, telur dan kekacang juga sesuai diberikan kepada anak.

Cara menguruskan makan anak anda:

* Sesetengah anak dalam lingkungan usia 18 bulan hingga dua tahun akan memilih makanan atau tidak sukakan sesetengah makanan mereka. Jangan gantikan makanan tersebut dengan snek yang tidak sihat.

* Jika mereka enggan makan, biarkan saja sehingga mereka lapar, selepas hatinya tenang dan lapar mereka akan teruskan makan.

Menyelesaikan masalah anak yang pilih makan:

* Berikan stimulasi kepada anak dengan mendedahkan mereka kepada udara yang bersih, senaman serta corak tidur yang mengalakkan.

* Catatkan jumlah cecair yang diambil oleh anak setiap hari kerana terlalu banyak minum mungkin menjejaskan pemakanan.

* Pastikan anak makan-makanan berkualiti dan bukan kuantiti kerana anak memerlukan sedikit makanan sahaja.

Ketika memberi anak makan, padamkan televisyen atau radio agar anak menumpukan perhatian kepada makanan.

* Jika dia mahu makan sendiri, galakan anak makan sendiri.

Harus diingat bahawa makanan yang diberikan hari ini akan mencorakkan pemakanannya di masa depan jadi adalah penting untuk belajar pemakanan sihat hari ini untuk masa hadapannya.

 Rangsangan bantu bina sel saraf bayi

BAYI yang baru dilahirkan mempelajari mengenai apa yang ada di sekelilingnya dengan tindak balas terhadap wajah yang dilihat, bunyi dan rangsangan-rangsangan lain.

Apa sebenarnya yang berlaku pada otak seorang bayi? Sebahagian besar perkembangan otak dan proses kematangan bermula pada beberapa tahun permata usia bayi. Bahkan, usia tiga tahun pertama adalah tempoh paling penting

Bayi yang baru lahir mempunyai sel-sel saraf otak lebih banyak berbanding orang dewasa, tetapi bagi membolehkan otak berfungsi, sel-sel saraf perlu berhubung antara satu sama lain. Proses tersebut perlu dibina sejak dari awal. Seperti telefon di rumah, anda memerlukan talian telefon sebagai sambungan.

Pengalaman bayi - melalui rangsangan yang diterima - ibarat wayar tembaga yang menyambungkan antara satu sel saraf dengan sel saraf yang lain.Ini bermakna apabila ada meransang bayi, anda membantu membentuk pemikiran mereka.

Setiap kali anda menunjukkan kepada bayi objek-objek menarik, memeluk, bercakap, menggerakkan anggota badan atau memainkan muzik, rangsangan tersebut bagaikan penyambung sel-sel saraf.

Sebaik bayi dilahirkan, berjuta-juta sel saraf telah terbentuk dalam otak bayi. Kemuncak proses membina sambungan sel-sel saraf ialah pada sekitar usia bayi 24 bulan dan ia kekal pada kadar tersebut sehingga mereka menjangkau usia 10 atau 11 tahun.

Membuka tingkap - Selepas dilahirkan

Telah diakui bahawa dalam tempoh dua jam pertama selepas dilahirkan, bayi menikmati tempoh tenang yang tidak mungkin berulang semula sekurang-kurangnya dua bulan kemudian.

Bagi memaksimumkan peluang ini, ibu boleh meminta untuk memeluk bayi sejurus dilahirkan. Bahkan tidak mustahil untuk memeluk bayi anda sebelum tali pusat dipotong dan sebelum bayi dimandikan, ditimbang , diukur panjang dan sebagainya, selagi doktor mengesahkan bahawa pernafasan bayi stabil.

Bapa juga boleh mengambil bahagian. Kebanyakan bapa di zaman moden ini turut berada di bilik bersalin dan biasanya doktor memberi peluang kepada bapa untuk memotong tali pusat bayi. Bagaimanapun, apa yang lebih penting berada bersama ibu dan bayi pada saat-saat kelahiran. Ketika ibu memeluk atau menyusukan bayi, letakkan tangan belakang di belakang atau tepi bayi.

Bapa juga berhak untuk mendukung bayi yang baru lahir. Beri peluang untuk bayi mengenali bau, atau merasai kehangatan badan atau mendengar suara dan degupan jantung anda bapa mereka. Bapa juga boleh menanggalkan butang baju dan lekapkan bayi anda pada badan biar kulit kedua-dua insan itu bersentuhan.

Jika ibu dalam keadaan sihat, cuba minta bayi diletakkan di dalam bilik anda pada tempoh awal mereka dilahirkan. Anda juga boleh meminta jururawat memandikan bayi dengan anda berada di sisi.


Membuka tingkap - Bagi bulan pertama

Kreativiti merupakan hasil keupayaan melihat, menilai dan mengarahkan dunia sekeliling dengan cara anda. Bayi akan menunjukkan kapasiti mereka untuk berimaginasi dan mencipta sesuatu mengikut fantasi mereka. Terpulang kepada ibu bapa untuk merangsang deria bayi melalui permainan.

Dalam beberapa minggu atau bulan pertama usia bayi, ibu bapa sudah boleh merangsang sel saraf bayi dengan memperkenalkan idea-idea yang mudah seiring dengan peristiwa-peristiwa biasa yang berlaku setiap hari seperti menyusu, mandi atau memakaikan lampin.

Sambil mengenakan pakaian bayi, anda boleh bermain-main dengannya. Main `sembunyi' muka mungkin pengalaman pertama paling kreatif bagi bayi anda. Ketika anda menutup dan membuka muka, bayi seolah-olah berfikir anda hilang dan muncul semula.

Ketawa dan terkejut dengan `kemunculan semula' anda membantu bayi belajar bahawa anda masih berada di sisinya walaupun ketika dia tidak dapat melihat anda.

 Rangsangan Awal
       
Mengapa rangsangan awal?

    * Rangsangan awal telah dikaitkan dengan pembentukan akal bayi. Sebagai ibu bapa, kita mahukan anak-anak kita menjadi gembira, sihat dan cerdas. Kita mahu mengetahui cara-cara meningkatkan potensi fisikal dan mental anak-anak kita. Bayi yang baru dilahirkan tidak hanya makan, tidur dan buang air sahaja . Mereka dapat melihat, mendengar dan tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Apa yang boleh saya lakukan untuk merangsang pemikiran
bayi saya?

    * Anda boleh menyediakan persekitaran yang dapat merangsang bayi anda supaya dapat menggunakan pancainderanya. Dalam tahun pertama bayi, sediakan keadaan yang baik dan berkesan untuk meransang pembangunan bayi secara fisikal, emosi, interaksi dan juga mental. Anda perlu berinteraksi dengan bayi seberapa banyak yang mungkin. Inilah yang akan membantu mempercepatkan pembangunannya.

Perkara-perkara yang anda boleh lakukan:

    * Sayangi bayi anda
      Bayi memerlukan kasih sayang sepenuhnya daripada anda untuk merangsang pembangunan mentalnya. Belaian ibu dan ayahnya yang lembut inilah yang akan meningkatkan harga dirinya. Tunjukkan kepadanya yang dia orang yang paling penting dalam hidup anda dan anda akan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Hubungan yang rapat dan mesra boleh merangsang anak anda.
    * Berbual dan menyanyi kepada anda anak anda
      Gunakan berbagai-bagai kosa kata, intonasi, gaya dan perasaan untuk bercakap atau menyanyi. Pandang bayi semasa bercakap kerana bayi gemar melihat wajah seseorang dan mendengar suara. Gunakan setiap peluang untuk bercakap dengannya; semasa menukar lampin, memberi susu atau semasa bersiar-siar di luar rumah.
    * Tumpukan perhatian dengan segera jika bayi anda menangis
      Ini cara bayi berhubung dengan anda. Tunjukkan pada bayi yang anda mendengar dan memberi tumpuan supaya bayi merasa selamat dan yakin bahawa anda sentiasa bersamanya.
    * Pegang bayi anda
      Ada banyak kesan yang baik bagi anak dan anda. Pelajari cara-cara mengurut dan merangsang bayi anda.
    * Biarkan bayi mengalami keadaan persekitaran yang baru
      Bawa bayi bersama untuk bersiar-siar, menaiki kereta atau berjumpa dengan orang-orang di sekelilingnya. Lebih banyak pendedahan kepada keadaan persekitaran yang berlainan lebih banyak pengalaman baru untuk bayi anda.
    * Galakkan bayi mengulangi perbuatan atau percakapan.
      Bayi anda senantiasa melihat dan mempelajari sesuatu daripada anda. Galakkan dia memberi respon kepada anda.
    * Bermain dengan bayi anda.
      Bermain ialah satu cara bayi dapat mempelajari sesuatu daripada keadaan. Awasi apa yang bayi anda suka lakukan. Jangan memaksa anak untuk mempelajari sesuatu. Cuba tenang dan riang semasa melakukan aktiviti-aktiviti itu.

Bagaimana merangsang daya penglihatannya?


    * Bayi mempunyai daya penglihatan yang berkembang pesat dalam masa enam bulan pertama. Pada waktu baru dilahirkan, penglihatannya agak kabur tetapi selepas bulan pertama bayi akan dapat melihat sesuatu obkek dan mengikut pergerakan objek itu dengan pandangannya. Bayi suka melihat wajah-wajah orang di sekelilingnya. Jadi luangkan banyak masa melihat bayi dari jarak dekat.

Bagaimana merangsang daya penglihatan bayi saya?

    * Menunjukkan bayi anda berbagai-bagai benda di sekelilingnya.
    * Tukarkan kedudukannya untuk mengalih pandangan di sekelilingnya.
    * Tunjukkan berbagai warna yang berbeza seperti warna putih dan hitam dan warna-warna garang seperti merah.
    * Gantungkan mainan setinggi 30cm daripada mukanya ketika berbaring.
    * Tunjukkan buku-buku yang mengandungi warna-warna menarik.


Bagaimana merangsang daya pendengaran?

    * Daya pendengaran bayi sudahpun berkembang semasa bayi di dalam
      rahim ibu lagi. Bayi gemar mendengar suara-suara manusia. Jadi luangkan
      masa untuk bercakap dan menyanyi.

Untuk merangsang daya pendengaran anak anda, anda boleh:

    * Bacakan buku kepada anak anda.
    * Nyanyikan lagu-lagu kanak-kanak (yang mengandungi banyak perkataan-perkataan yang diulang-ulang)
    * Mainkan permainan yang mengeluarkan musik yang tidak begitu kuat.
    * Mainkan berbagai jenis lagu.
    * Membaca doa-doa dan surah-surah dari Al-Quran

Bagaimana merangsang daya rasanya?

    * Bayi yang selalu didakap dan dibelai akan merasa disayangi dan tenteram.
      Peluk, cium dan dakap bayi seberapa kerap yang anda suka. Untuk merangsang daya rasa anak anda, anda boleh:
    * Mempelajari cara-cara mengurut anak anda
    * Biarkan bayi memegang berbagai jenis bahan seperti permadani, sutera, bulu-bulu haiwan yang lembut dsbnya.
    * Biarkan dia memegang permainan yang berbagai rasa dan bercakap mengenainya.


Bagaimana merangsang pembangunan fisikalnya?

    * Anda boleh merangsang pembangunan fisikal anak anda dengan mengalakkannya bergerak.

Galakkan bayi yang membesar supaya:

    * Berlatih untuk duduk.
    * Bergolek.
    * Menjulur dan merangkak.
    * Memegang dan menggengam.
    * Mencapai sesuatu barang.
    * Menggalakkan koordinasi pergerakan mata dan tangan.

No comments: